Friday 7 July 2017

HARI RAYA DISAMBUT MERIAH!

Sambutan Hari Raya Aidilfitri di SK Lubok Teras meriah, ibu bapa dan seluruh warga komuniti turut hadir menyerikan majlis.

Lontong, Nasi Minyak, Mee Kari, Laksa Terengganu, Jeruk Buah dan Cendol Pulut merupakan antara juadah yang dihidangkan ketika sambutan Raya kali ini. Menariknya, kesemua hampir 10 menu utama disediakan oleh ibu bapa sendiri, dengan setiap kali membawakan menu yang berlainan. Ini merupakan julung-julung kali kami memberi peluang kepada para ibu bapa di setiap kelas untuk memasak menu pilihan mereka sendiri.

Hasilnya, sambutan Hari Raya di SK Lubok Teras dipenuhi oleh seluruh komuniti SKLT, penduduk Kampung Bukit Aman dan Bukit Lawang, bekas-bekas staff, bekas guru serta pegawai pendidikan daerah. Ustaz Wan Shamsukardi, bekas Guru Penolong Kanan 1 SK Lubok Teras juga telah datang beraya bersama kami di sini, sejak awal pagi sehinggalah majlis tamat. 

Tuan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Tuan Haji KipayatuAllah bin Dato Ahmad Said juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan sambutan Aidilfitri di SKLT, walaupun terpaksa menempuh jarak perjalanan yang jauh. Beliau yang ditemani oleh Tuan Haji Rosmadi, Pegawai Pembangunan Sukan PPD Setiu, yang juga penyokong utama Program Pembangunan Sukan SKLT, turut menceriakan anak-anak SKLT dengan pemberian duit raya.

Majlis diadakan secara santai dengan konsep "open house" atau rumah terbuka. Pelbagai aktiviti lain juga turut diadakan seperti persembahan kelas, persembahan ibu bapa serta persembahan guru. Turut diadakan, pertandingan Pakaian Raya dan Menu Terbaik.

Majlis yang selesai pada jam 1 petang itu diakhiri dengan sesi bersalaman para guru dan pemberian duit raya kepada semua murid oleh Kelab Guru SKLT.

Bagi pihak sekolah, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para ibu bapa, AJK PIBG, dan seluruh warga komuniti SK Lubok Teras atas komitmen yang diberikan. Tidak salah jika kami katakan, ini merupakan majlis sambutan raya yang paling meriah yang pernah dianjurkan di sekolah kecil ini.


















































0 comments:

Post a Comment