We Believe in Children's Potential

Here in SK Lubok Teras, we try our best to highlight every student's potential and give them the best education that suits their interest.

Every Child Matters

Polisi di SK Lubok Teras ialah tiada murid yang akan diasihkan kerana potensi akademik mereka. Kami akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang dapat membantu murid belajar dengan cara yang terbaik.

Fokus Pada Kemahiran Diri

Kami tidak hanya berfokuskan kepada akademik, sistem pendidikan kami juga memberi penekanan kepada kemahiran diri murid yang membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat berguna pada masa hadapan.

Hubungan Baik Guru dan Ibu-Bapa

Hubungan rapat antara ibu-bapa dan guru merupakan antara kunci kejayaan kami. Guru-guru kami sentiasa berjumpa dengan ibu-bapa untuk memberi maklum balas mengenai prestasi anak-anak mereka.

Sentiasa Bersedia Membantu Murid

Guru-guru kami sentiasa bersedia membantu murid-murid walaupun di luar waktu persekolahan.

Saturday 29 April 2017

NURUL DAN AMIR KE PERINGKAT KEBANGSAAN!



TAHNIAH SITI NURULDIANA ALYA DAN AMIRRUDIN ALI YANG BUAT PERTAMA KALINYA DALAM SEJARAH SKLT, BERJAYA MELAYAKKAN DIRI KE PERINGKAT KEBANGSAAN!

Memahat sejarah baru di bumi permata tercinta, dua orang atlet cemerlang ini menjadi dua orang pertama dari SK Lubok Teras yang berjaya mewakili Negeri Terengganu dan menjejakkan kami ke peringkat kebangsaan dalam bidang sukan.

Siti Nuruldiana Alya mewakili Negeri Terengganu dalam acara 100M, 4x100M dan 4x200M, manakala Amirrudin Ali pula dalam acara 80M Lari Berpagar, 4x100M dan 4x200M.

Bersama dengan mereka adalah jurulatih olahraga sekolah, Encik Muhammad Hafiz yang juga bertugas sebagai Penolong Pengurus Pasukan Negeri Terengganu. Mereka bertolak ke Pulau Pinang pada 22 April 2017 dan kembali semula ke Terengganu pada 29 April 2017. Selama seminggu mereka berkampung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang bersama-sama dengan 16 kontinjen dari seluruh Malaysia.











Thursday 20 April 2017

SYAMIMIE, AISYAH DAN AINI BANTU PASUKAN ZST MUNCUL NAIB JOHAN BOLA BALING

SELEPAS MENJADI JOHAN ZON, TIGA ORANG PEMAIN SK LUBOK TERAS TERUS CEMERLANG APABILA BERJAYA MEMBANTU PASUKAN ZON SETIU TIMUR MUNCUL NAIB JOHAN BOLA BALING PEREMPUAN MSSD SETIU

Atlet SK Lubok Teras kini terus cemerlang apabila berjaya muncul Naib Johan Bola Baling Daerah. Berdepan dengan pasukan yang mempunyai saiz fizikal yang lebih besar tidak sesekali mematahkan semangat mereka untuk berjuang habis-habisan. Hasilnya, mereka berjaya memenangi kesemua perlawanan di peringkat kumpulan, suku akhir dan separuh akhir. Tahniah kami ucapkan kepada Nur Syamimie Munirah bt Idham Halimi, Aini Najwa binti Aznan dan Nur Aisyah Sofia bt Azman atas kejayaan ini!.


Saturday 15 April 2017

TEMPAT KETIGA SMART ENGLISH YDSM



Anak-anak SK Lubok Teras, walaupun penat dengan pelbagai kejayaan akhir-akhir ini, masih mampu memberi cabaran dalam segala apa jua bidang. Kini, mereka muncul pula sebagai pemenang tempat ketiga program Smart Englsih anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan. Walau nampak macam biasa, tetapi sebenarnya tersirat satu cerita ringkas disebalik kejayaan ini. Bacakan coretan Guru Bahasa Inggeris kami, Encik Hafiz Abdullah dibawah ini:



BAGAIMANA USTAZ & USTAZAH, GURU SAINS, GURU BAHASA MELAYU, GURU MATH, PEMBANTU TADBIR SERTA GURU BESAR SENDIRI, MELATIH ANAK-ANAK SMART ENGLISH DALAM MASA SEHARI, DAN MAMPU MENDAPAT TEMPAT KETIGA!
Semalam, anak-anak kami menempa kejayaan lagi apabila berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam Program SMART English anjuran YDSM. Kami kalah dengan sekolah yang lebih besar dan juga sekolah kluster kecemerlangan. Dan mungkin pada yang lain, tiada apa yang perlu dibanggakan setakat dengan tempat ketiga.
NAMUN, tahukah anda, anak-anak ini berlatih dalam masa SEHARI sahaja ? Dan tahukah anda, saya sebagai guru Bahasa Inggeris tidak terlibat pun dengan latihan mereka memandangkan sedang sibuk dengan persiapan team balapan dan padang negeri. YA, saya hampir-hampir putus asa apabila masa dan tenaga saya dipaksa secara sepenuhnya untuk balapan dan padang, pagi, petang dan malam. Saya pada hari Selasa yang lepas terpaksa membuat keputusan untuk MENARIK DIRI dari pertandingan Smart English memandangkan tiada masa langsung untuk balik ke sekolah dan membuat latihan.
Namun, semangat guru-guru SK Lubok Teras memang luar biasa. Guru-guru ini diketuai oleh GPK 1 kami dan Guru Besar sendiri menyatakan kesanggupan mengambil alih segalanya dan melatih anak-anak ini, sedangkan kami hanya ada masa SEHARI SAHAJA lagi untuk membuat latihan. Dan begitulah, pada hari Rabu, saya sempat "lari" sekejap balik ke sekolah, terkejut melihat latihan anak-anak yang sudah hampir 90% SIAP!. Segala persiapan, pengurusan dilakukan oleh guru-guru SKLT yang bukan opsyen Bahasa Inggeris pun! Saya hampir menitiskan air mata melihat kesungguhan mereka demi melihat anak-anak kampung di sini berjaya. Tuan Guru Besar sendiri, pada hari Rabu itu, membatalkan segala mesyuarat demi memberi ruang kepada guru-guru untuk membantu latihan anak-anak ini.
HASILNYA, walaupun latihan hanya sehari, walaupun guru Bahasa Inggeris tidak terlibat, mereka masih mampu berdiri megah, mendapat tempat ketiga dari sebelas buah sekolah yang bertanding! Sesuatu yang AMAT LUAR BIASA bagi saya. Dan ini juga menunjukkan, di SKLT, Bahasa Inggeris BUKAN lagi sesuatu yang asing, kami sudah sampai tahap dimana guru-guru yang bukan mengajar Bahasa Inggeris pun mampu menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Bahasa Inggeris!.
Tentu sekali, bagi anda ini hanya cerita biasa, not movie materials and everything, but for me, ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan luar biasa.
Untuk ibu bapa di Kampung Bukit Aman dan Kampung Bukit Lawang, pegang eratlah guru-guru ini, jangan lepaskan mereka, kerana bukan senang mencari guru-guru sebegini dalam arena pendidikan kita. Beruntung besar sebenarnya anak-anak kampung kita mendapat guru-guru sebegini.
Semoga kisah kesungguhan mereka menjadi contoh kepada pendidik lain dalam memajukan anak bangsa.

LUBOK TERAS TERUS MENGGANAS! KINI JOHAN BOLA BALING PEREMPUAN

SK Lubok Teras sekali lagi membuktikan bahawa sekolah kecil ini luar biasa selepas berjaya mendapat Johan Bola Baling Perempuan Zon Setiu Timur. Kejohanan yang diadakan pada 10 April 2017 itu menyaksikan pasukan bola baling perempuan SKLT memenangi kesemua perlawanan dari peringkat kumpul sehingga ke perlawanan akhir.
SK Lubok Teras bermula dengan cemerlang menerusi pertemuan pertama dengan SK Kampung Fikri Sungai Tong. Walaupun pada mulanya SK Kg Fikri disebut-sebut sebagai pilihan kejohanan, pasukan SKLT dengan mudah menewaskan mereka dengan jaringan 7 tanpa berbalas. Kesemua jaringan disumbangkan oleh Siti Nuruldiana Alya, Nur Syamimie Munirah dan Aina Adyriana.

Perlawanan kedua pula menyaksikan pasukan SKLT berdepan dengan lawan yang mempunyai fizikal badan yang jauh lebih besar daripada mereka, iaitu pasukan SK Sungai Tong. Siti Nuruldiana Alya dikawal ketat oleh pemain pertahanan SK Sungai Tong yang jauh lebih besar dan tinggi daripada beliau. Namun, mereka membuat kesilapan dengan langsung tidak mengawal 3 penggerak utama di bahagian hadapan kita iaitu Aina Adyriana, Nur Syamimie dan Aisyah Sofea. SK Lubok Teras sekali lagi memenangi perlawanan ini dengan jaringan 5 berbalas 2.  Pasukan SKLT seterusnya terus mengganas di padang pada perlawanan ketiga dengan menundukkan SK Kampung Jaya 4-0.

Perlawanan separuh akhir pula menyaksikan pasukan SKLT melawan pasukan dari SK Sungai Las. Walaupun sudah kepenatan selepas mengharungi 3 perlawanan dengan rehat yang amat sedikit, pasukan perempuan kita terus cemerlang apabila berjaya menundukkan pasukan lawan dengan 7 jaringan berbalas 1. 

Peringkat akhir menyaksikan pertemuan buku bertemu ruas, antara pasukan SK Lubok Teras dan SK Kampung Bukit. Pada tahun lepas, pasukan SKLT telah kalah dengan pasukan SKKB di perlawanan akhir ketika kejohanan pembangunan 2016. Dengan hanya rehat selama 5 minit selepas perlawanan separuh akhir, pasukan SKLT bermula dengan cemerlang apabila berjaya mendahului pasukan SK Kampung Bukit 3-1 pada separuh masa pertama. Aksi cemerlang pemain pertahanan Aini Najwa dan penjaga gol Noraliana Syafika telah banyak menangkis serangan demi serangan yang dilancarkan oleh pasukan SKKB.

Spearuh masa kedua menyaksikan pasukan SKLT bermula dengan sedikit goyah, manakala SKKB mendapat sentuhan semangat apabila berjaya menjaringkan 2 gol di awal separuh masa kedua. Kedua-dua pasukan terikat 3 sama dan 2 minit sebelum perlawanan tamat, SKKB sekali lagi menjaringkan gol dan mendahului perlawanan. Namun, semangat juang anak-anak SKLT tidak sedikit pun padam. Noraliana Syafika beraksi dengan begitu cemerlang menyelamatkan gol pada saat-saat akhir ketika SKKB mendapat jaringan percuma. Suntikan semangat dan sokongan berterusan dari semua sekolah yang ada di padang pada petang itu telah membolehkan Nur Syamimie menjaringkan gol persamaa, selepas beberapa kali percubaan tepat. Dan dengan hanya beberapa saat sebelum perlawanan tamat, Siti Nuruldiana Alya menjaringkan gol kemenangan SK Lubok Teras seterusnya menobatkan pasukan ini sebagai Johan Zon Setiu Timur. Aksi penuh dramatik dan sengit antara kedua-dua sekolah ini telah mendapat pujian ramai. 

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan SKLT bergelar Johan selepas kali terakhir merangkul kejohanan ini pada tahun 2011, terutamanya kepada Tuan Guru Besar, Encik Zuhaidi bin Othman, GPK Ko, Encik Zairani Mansor, Ketua Jurulatih, Encik Ahmad Zaini Zalik, Penolong Jurulatih, Encik Hafiz Abdullah, Ustaz Wan Shamsukardi, Encik Zulfadli Ghani, Pengurus Pasukan Puan Norazlinan dan Ustazah Norahan, Jurulatih Alumni, Puan Azlin Abu Bakar dan Cik Arisya Manisya Abu Bakar serta semua guru dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak.

KEPUTUSAN KESELURUHAN:

Peringkat Kumpulan
SKLT vs SK FIKRI ST = 7 - 0
SKLT vs SK SUNGAI TONG = 5 - 2
SKLT vs SK KG JAYA = 4 - 0
Separuh Akhir
SKLT vs SK SGI LAS = 7 - 1
Akhir
SKLT vs SK KG BUKIT = 5 - 4









Sunday 9 April 2017

MENCIPTA SEJARAH BARU DALAN ARENA BALAPAN DAN PADANG




SETIU MUNCUL JOHAN SEKOLAH RENDAH, NAIB JOHAN KESELURUHAN DENGAN 19 EMAS. ATLET SK LUBOK TERAS SUMBANG 2 EMAS, 2 PERAK DAN 1 GANGSA, PENCAPAIAN TERBAIK DALAM SEJARAH SKLT.

Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu kali ini menyaksikan pasukan MSSD Setiu yang turut menampilkan 5 Atlet Premier SKLT melakukan anjakan paradigma apabila berjaya memecah rekod dengan pencapaian 19 Emas, rekod terbaik semenjak daerah Setiu ditubuhkan dan kejohanan bermula pada 47 tahun yang lepas.

Atlet SK Lubok Teras pula telah menyumbangkan Emas melalui saudara Amirrudin Ali dalam acara 80M Berpagar L12 dengan mencatatkan masa terbaik 12.7 saat. Rekod ini merupakan rekod terbaik peribadi beliau sepanjang bergelar atlet. Emas kedua pula disumbangkan oleh Ratu Pecut kita, Siti Nuruldiana Alya bt Mohd Rosdi dalam acara 100m P12. Beliau mencatatkan masa terbaik 14.0 saat menandingi masa terbaik beliau sebelum ini, 14.65 saat.

Manakala, pingat perak pula disumbangkan oleh saudari Nur Syamimie Munirah bt Idham Halimi melalui acara 100m P11. Nur Syamimie membuat kejutan apabila berjaya merekodkan masa 14.63 saat, satu pencapaian yang amat jarang dapat dilihat dikalangan atlet yang baru berusia 11 tahun. Perak kedua pula turut disumbangkan oleh Ratu Pecut Negeri Terengganu, Siti Nuruldiana Alya melalui acara lompat jauh P12, dengan jarak lompatan 4.19 meter. Manakala, pingat gangsa disumbangkan oleh saudara Amirrudin melalui acara 4x100m P12.

Secara keseluruhannya, kejohanan kali ini telah membuka mata pelbagai pihak terhadap kemampuan atlet-atlet dari daerah Setiu, di bawah kepimpinan dan pengelolaan PT Encik Khairul Azman dari SK Kampung Bukit, yang berjaya menjadikan daerah dengan bilangan pelajar paling kecil mencabar daerah-daerah yang lagi besar. Kami juga amat menghargai segala tunjuk ajar dan ilmu yang telah dicurahkan kepada kami oleh Encik Khairul Azman sehingga berjaya membawa anak-anak kami ke tahap yang begitu tinggi ini.

Kami dari pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada Encik Khairul Azman, Tuan Haji Rosmadi, Pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Setiu, serta semua jurulatih yang terlibat dalam mendidik anak-anak kami sehingga berjaya membuat pencapaian setinggi ini.

Tidak ketinggalan, jutaan terima kasih kepada para guru, terutama Tuan Guru Besar, Encik Zuhaidi bin Othman dan GPK Ko, Encik Zairani Mansor yang setiap hari berada bersama-sama atlet kita memberi sokongan dan bantuan kepada mereka bagi memastikan kejayaan milik kita. Terima kasih Sir Afnizam, Ustaz Wan Shamsukardi, Ustaz Hisyam, Encik Zulfadhli dan guru-guru yang sama-sama hadir menyaksikan anak-anak SKLT beraksi. Terima kasih kepada ibu bapa yang sanggup berkampung di stadium selama 4 hari memberi sokongan dan bantuan kepada anak-anak mereka. Terima kasih Tuan Haji Kipayatu Allah, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu dan juga Encik Azmi Nazir, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Setiu. Terima kasih juga kepada Naib Ketua Murid kita, saudari Aina Adyriana bt Abu Bakar dan saudari Nur Iman Izzatti Asyiqin yang menjadi chaperone setia kepada atlet-atlet kita sepanjang kejohanan.

















Saturday 8 April 2017

SKLT AMIRRUDIN DINOBAT RAJA HURDLE TERENGGANU


Friday 7 April 2017

SKLT NURULDIANA RATU PECUT NEGERI TERENGGANU







Tuesday 4 April 2017

SYAHMI KETIGA TILAWAH



Tahniah diucapkan kepada adik Syahmi Hakim dari 6 Salam yang berjaya mendapat tempat Ketiga dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran sempena Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah Zon Setiu Timur. Karnival tersebut telah diadakan pada 3 April bertempat di SK Kg Jaya. SKLT turut menghantar wakil dalam pertandingan bercerita kisah Al-Quran lelaki dan perempuan serta Tilawah perempuan.

Adik Syahmi mencipta sejarah apabila menjadi wakil lelaki pertama dari SK Lubok Teras yang pernah mendapat tempat tiga terbaik dalam pertandingan tilawah di peringkat zon setiu timur. Tahniah juga diucapkan kepada team kejurulatihan yang terdiri dari Ustazah Norahan, Ustaz Wan Shamsukardi dan Ustaz Wan Muhd Nur Hisyam.