SEJARAH

SEJARAH PENUBUHAN SK LUBOK TERAS

Sekolah Kebangsaan Lubok Teras (SKLT atau SK Lubok Teras) merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan Band 1 yang terletak di W/Pos Kuala Telemong , Kuala Terengganu , Terengganu Darul ImanMalaysia. SK Lubok Teras dibina pada Mei 1982 dan siap pada 08 November 1983. SKLT dibuka secara rasmi pada 1 Januari 1985. Pada awal pembukaanya, sekolah ini hanya mempunyai 50 orang murid dan 5 orang guru. Kod sekolah TBA6006.

Sebelum tahun 1983, hanya sebuah sekolah sahaja yang terdapat di kawasan Kampung Bukit Aman, Bukit Lawang dan Bukit Mundok iaitu SK Bukit Mundok. Peningkatan penduduk di Kampung Bukit Aman dan Kampung Bukit Lawang serta kesukaran untuk mengakses SK Bukit Mundok kerana tiadanya jalan raya menyebabkan cadangan untuk membina sebuah sekolah telah diadakan. Pada asalnya, tapak sekolah ini terletak berdekatan dengan Sungai Hulu Nerus, iaitu di kawasan penempatan lama penduduk Kampung Bukit Aman dan Bukit Lawang. Sebelum tahun 1960, penduduk kedua-dua kampung ini asalnya adalah penduduk yang sama di kawasan penempatan dikenali sebagi "Lubok Teras". Namun, keadaan sungai yang selalu melimpah ketika hujan lebat dan menyebabkan banjir besar telah memaksa penduduk ini berpindah ke kawasan yang lebih tinggi yang dikenali sebagai "Pengakalan Beruk" pada ketika itu. Perpindahan ini telah memecahkan penduduk Lubok Teras kepada dua kampung baru ini.

Oleh disebabkan banjir juga, tapak asal SK Lubok Teras ini di penempatan lama Lubok Teras telah dipindahkan ke kawasan lebih tinggi yang menjadi tapak sekolah sehingga sekarang.

SKLT mempunyai keluasan kawasan tanah sebanyak 3.98211 hektar . Walaupun terletak agak jauh di pedalaman, SKLT dikategorikan di bawah kategori sekolah luar bandar dan bukan sekolah pedalaman. SKLT juga merupakan sekolah kurang murid (SKM) berstatus gred B kerana mempunyai murid kurang daripada 100 orang. Jarak kedudukan sekolah adalah sejauh 60KM dari Pejabat Pelajaran Daerah Setiu ( PPDS ) di Bandar Permaisuri dan 30KM dari Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu serta 56KM dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Bandar Kuala Terengganu. Kedudukan parlimen kampung Bukit Aman dan Kampung Bukit Lawang yang menjadi tapak sekolah menyebabkan sekolah ini diletakkan di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Setiu. Kedua-dua kampung ini berada dibawah Parlimen Hulu Nerus, Setiu. Ini menjadikan SKLT unik kerana mempunyai alamat wakil pos Kuala Terengganu, berdekatan dengan Daerah Hulu Terengganu tetapi didaftarkan dibawah Pejabat Pelajaran Daerah Setiu.

GAMBAR LAMA SEKOLAH


Suasana Sekolah Sekitar Tahun 1990

Gambar Komuniti Pertama Sekolah: 1 Januari 1985

Gotong-royong hari pembukaan sekolah: 1 Januari 1985

Suasana Sekolah dari atas bangunan sekitar tahun 1990. Masih tiada jalan bertar.

Keadaan padang sekolah selepas dibersihkan secara bergotong-royong

Rumah Guru dibina pada tahun 1994


0 comments:

Post a Comment