We Believe in Children's Potential

Here in SK Lubok Teras, we try our best to highlight every student's potential and give them the best education that suits their interest.

Every Child Matters

Polisi di SK Lubok Teras ialah tiada murid yang akan diasihkan kerana potensi akademik mereka. Kami akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang dapat membantu murid belajar dengan cara yang terbaik.

Fokus Pada Kemahiran Diri

Kami tidak hanya berfokuskan kepada akademik, sistem pendidikan kami juga memberi penekanan kepada kemahiran diri murid yang membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat berguna pada masa hadapan.

Hubungan Baik Guru dan Ibu-Bapa

Hubungan rapat antara ibu-bapa dan guru merupakan antara kunci kejayaan kami. Guru-guru kami sentiasa berjumpa dengan ibu-bapa untuk memberi maklum balas mengenai prestasi anak-anak mereka.

Sentiasa Bersedia Membantu Murid

Guru-guru kami sentiasa bersedia membantu murid-murid walaupun di luar waktu persekolahan.

Saturday 28 February 2015

PERKHEMAHAN BADAN BERUNIFORM DAN TKRS PERINGKAT NEGERI TERENGGANU

 


Buat julung-julung kalinya, 2 orang kadet TKRS SK Lubok Teras telah dipilih untuk mewakili Daerah Setiu dalam Perkhemahan Badan-Badan Beruniform dan TKRS Peringkat Negeri Terengganu. Mereka yang dipilih ialah Lans Koperal TKRS Nurizzati binti Izaman dan Lans Koperal TKRS Nur Sahira bt Mohd Ramlan. Kedua-dua mereka telah dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan ketika perkhemahan peringkat daerah Setiu.

Program ini dimulakan dengan latihan pusat selama 2 hari 1 malam bertempat di SK Bintang, Setiu. Latihan pusat ini bertujuan melatih kadet-kadet yang terpilih mewakili daerah dalam aktiviti yang akan dipertandingkan ketika perkhemahan ini. Lans Koperal TKRS Nur Sahira telah dipilih sebagai Ketua Kontinjen Perempuan bagi Daerah Setiu. Beliau dipilih berdasarkan kemampuan beliau dalam berkawad serta memberi arahan kawad.

Perkhemahan kali ini diadakan selama 4 hari 3 malam di Kem Merbau Menyusut. Sebanyak 8 buah daerah telah menyertai perkhemahan kali ini. Antaranya ialah masakan rimba, lari berhalangan, ikatan, kraf, pandu arah, bantu mula serta persembahan. Lans Koperal Nur Sahira telah dipilih menjadi wakil daerah untuk pertandingan lari berhalangan, manakala Lans Koperal Nur Izzati pula dipilih untuk mewakili kontinjen setiu dalam pertandingan ikatan. Lans Koperal Nur Sahira telah mendapat tempat ketiga dari lapan tempat seluruh negeri. Lans Koperal Izzati pula telah mendapat johan antara semua daerah seluruh negeri Terengganu dalam pertandingan ikatan. Pelbagai pahit manis sepanjang perkhemahan telah mereka lalui. Walaupun berhadapan dengan cabaran serta persaingan yang sengit, Lans Koperal Izzati dan Lans Koperal Sahira telah membuktikan bahawa mereka juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan murid-murid lain. Saiz badan tidak menjadi penghalang buat mereka.  Ini dibuktikan lagi dengan kedua-dua mereka diberi penghormatan dalam barisan Kawad Kawalan Kehormat semasa perasmian penutup.  Hanya 36 kadet terbaik dipilih daripada sejumlah 260 kadet yang mengambil bahagian dalam Kawalan Kehormat.

Kontinjen Setiu juga telah cemerlang dengan terus memenangi beberapa acara lain, antaranya ialah tempat kedua dalam persembahan, johan masakan rimba, johan bantu mula serta johan kraf perkhemahan. Ini membolehkan kontinjen Setiu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Perkhemahan Badan Beruniform Peringkat Negeri Terengganu.

Secara keseluruhannya, perkhemahan kali ini telah berjaya melonjakkan nama SK Lubok Teras di peringkat daerah dan negeri. Komitmen dan kesungguhan yang dipaparkan oleh dua kadet ini boleh dijadikan contoh kepada murid-murid lain untuk terus menggapai kejayaan dalam apa jua bidang.

 










Tuesday 10 February 2015

PROG IKHTIAR HIDUP: MASAKAN RIMBA DAN “WATER CONFIDENT”

Pada 10 Februari 2015, Pasukan Tunas Kadet Remaja Sekolah SK Lubok Teras telah mengadakan aktiviti luar di Sungai Nerus, Kampung Bukit Aman. Aktiviti ini bertujuan melatih kadet dalam beberapa perkara, iaitu:

· Menghidupkan api untuk menyediakan masakan
· Memasak ayam dengan cara yang betul tanpa menggunakan sebarang peralatan beli
· Memupuk semangat cintakan alam dan menjaga kebersihan alam sekitar.
· Menanamkan sifat yakin diri apabila berada di dalam air
· Langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil apabila berada di dalam air.

Kadet-kadet SKLT telah dibahagikan kepada 7 platun yang diketuai oleh seorang Lans Koperal bagi setiap platun. Untuk tugasan yang pertama, setiap platun dikehendaki menghidupkan api dan menyediakan bara api untuk masakan. Untuk tugasan yang kedua pula, setiap platun dikehendaki menyediakan sejenis masakan ayam panggang dan menunjukkan cara-cara memasak ayam dengan betul tanpa menggunakan sebarang peralatan beli. AKtiviti ini telah dibantu oleh semua guru SK Lubok Teras termasuklah Tuan Guru Besar sendiri. Murid-murid diajar dan didedahkan dengan pelbagai cara masakan yang betul dengan hanya menggunakan buluh dan bahan-bahan sekeliling.

Aktiviti seterusnya adalah aktiviti membina keyakinan di dalam air. Untuk aktiviti ini, pihak sekolah telah meminjam sejumlah 42 jaket keselamatan (life-jacket) dari SK Bukit Mundok. Aktiviti ini melibatkan murid masuk ke dalam air sungai bersama life-jacket mereka dan dikehendaki terapung secara berbaring. Kadet juga didedahkan dengan tatacara betul pemakaian life-jacket serta langkah-langkah keselamatan dalam air. Taklimat keselamatan ini telah diberi oleh En Mohd Nadzri@Sam bin Dagang.  Turut diadakan majlis penyampaian hadiah ole Tuan Guru Besar kepada murid-murid SKLT yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah dalam sukan Bola Baling serta perkhemahan daerah.

Keseluruhannya, aktiviti kali ini telah berjaya mencapai matlamat serta menarik minat murid untuk lebih aktif dalam badan beruniform.













Sunday 8 February 2015

Perkhemahan TKRS dan PBB Daerah Setiu

Pada 5 – 7 Februari yang lalu, 5 orang murid SK Lubok Teras telah menghadiri Perkhemahan Badan-Badan Beruniform dan TKRS Peringkat Daerah Setiu. Perkhemahan itu telah diadakan secara integrasi, di mana semua murid ditempatkan berkumpulan bersama-sama sekolah-sekolah yang lain. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Kawad Kaki, Kawad Kaki Selaku Terima Sijil, Masakan Rimba, Persembahan, Ikatan, Kraf Perkhemahan dan Aktiviti Kerohanian.

Secara keseluruhanya, kadet dari SK Lubok Teras telah memaparkan komitmen, dedikasi dan semangat berkumpulan yang tinggi sepanjang perkhemahan. Kadet kita juga telah menunjukkan kayakinan diri yang amat baik terutamanya dalam aktiviti berkumpulan. Malahan, kadet SK Lubok Teras juga telah membantu murid-murid sekolah lain dalam beberapa perkara, antaranya memberikan khemah kepada sekolah yang tidak membawa khemah secukupnya, mencari khemah kosong untuk kadet perempuan yang tiada khemah, membantu kadet-kadet lain mendirikan dan menurunkan khemah, mengajar asas kawad serta membetulkan uniform kadet-kadet lain. 

Pencapaian:

Johan Persembahan (kumpulan Nur Sahira)
Naib Johan Persembahan (kumpulan NurIzzati)
Johan Masakan Lelaki (Kumpulan Lukqman Nur hakim)