Saturday 15 April 2017

LUBOK TERAS TERUS MENGGANAS! KINI JOHAN BOLA BALING PEREMPUAN

SK Lubok Teras sekali lagi membuktikan bahawa sekolah kecil ini luar biasa selepas berjaya mendapat Johan Bola Baling Perempuan Zon Setiu Timur. Kejohanan yang diadakan pada 10 April 2017 itu menyaksikan pasukan bola baling perempuan SKLT memenangi kesemua perlawanan dari peringkat kumpul sehingga ke perlawanan akhir.
SK Lubok Teras bermula dengan cemerlang menerusi pertemuan pertama dengan SK Kampung Fikri Sungai Tong. Walaupun pada mulanya SK Kg Fikri disebut-sebut sebagai pilihan kejohanan, pasukan SKLT dengan mudah menewaskan mereka dengan jaringan 7 tanpa berbalas. Kesemua jaringan disumbangkan oleh Siti Nuruldiana Alya, Nur Syamimie Munirah dan Aina Adyriana.

Perlawanan kedua pula menyaksikan pasukan SKLT berdepan dengan lawan yang mempunyai fizikal badan yang jauh lebih besar daripada mereka, iaitu pasukan SK Sungai Tong. Siti Nuruldiana Alya dikawal ketat oleh pemain pertahanan SK Sungai Tong yang jauh lebih besar dan tinggi daripada beliau. Namun, mereka membuat kesilapan dengan langsung tidak mengawal 3 penggerak utama di bahagian hadapan kita iaitu Aina Adyriana, Nur Syamimie dan Aisyah Sofea. SK Lubok Teras sekali lagi memenangi perlawanan ini dengan jaringan 5 berbalas 2.  Pasukan SKLT seterusnya terus mengganas di padang pada perlawanan ketiga dengan menundukkan SK Kampung Jaya 4-0.

Perlawanan separuh akhir pula menyaksikan pasukan SKLT melawan pasukan dari SK Sungai Las. Walaupun sudah kepenatan selepas mengharungi 3 perlawanan dengan rehat yang amat sedikit, pasukan perempuan kita terus cemerlang apabila berjaya menundukkan pasukan lawan dengan 7 jaringan berbalas 1. 

Peringkat akhir menyaksikan pertemuan buku bertemu ruas, antara pasukan SK Lubok Teras dan SK Kampung Bukit. Pada tahun lepas, pasukan SKLT telah kalah dengan pasukan SKKB di perlawanan akhir ketika kejohanan pembangunan 2016. Dengan hanya rehat selama 5 minit selepas perlawanan separuh akhir, pasukan SKLT bermula dengan cemerlang apabila berjaya mendahului pasukan SK Kampung Bukit 3-1 pada separuh masa pertama. Aksi cemerlang pemain pertahanan Aini Najwa dan penjaga gol Noraliana Syafika telah banyak menangkis serangan demi serangan yang dilancarkan oleh pasukan SKKB.

Spearuh masa kedua menyaksikan pasukan SKLT bermula dengan sedikit goyah, manakala SKKB mendapat sentuhan semangat apabila berjaya menjaringkan 2 gol di awal separuh masa kedua. Kedua-dua pasukan terikat 3 sama dan 2 minit sebelum perlawanan tamat, SKKB sekali lagi menjaringkan gol dan mendahului perlawanan. Namun, semangat juang anak-anak SKLT tidak sedikit pun padam. Noraliana Syafika beraksi dengan begitu cemerlang menyelamatkan gol pada saat-saat akhir ketika SKKB mendapat jaringan percuma. Suntikan semangat dan sokongan berterusan dari semua sekolah yang ada di padang pada petang itu telah membolehkan Nur Syamimie menjaringkan gol persamaa, selepas beberapa kali percubaan tepat. Dan dengan hanya beberapa saat sebelum perlawanan tamat, Siti Nuruldiana Alya menjaringkan gol kemenangan SK Lubok Teras seterusnya menobatkan pasukan ini sebagai Johan Zon Setiu Timur. Aksi penuh dramatik dan sengit antara kedua-dua sekolah ini telah mendapat pujian ramai. 

Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan SKLT bergelar Johan selepas kali terakhir merangkul kejohanan ini pada tahun 2011, terutamanya kepada Tuan Guru Besar, Encik Zuhaidi bin Othman, GPK Ko, Encik Zairani Mansor, Ketua Jurulatih, Encik Ahmad Zaini Zalik, Penolong Jurulatih, Encik Hafiz Abdullah, Ustaz Wan Shamsukardi, Encik Zulfadli Ghani, Pengurus Pasukan Puan Norazlinan dan Ustazah Norahan, Jurulatih Alumni, Puan Azlin Abu Bakar dan Cik Arisya Manisya Abu Bakar serta semua guru dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak.

KEPUTUSAN KESELURUHAN:

Peringkat Kumpulan
SKLT vs SK FIKRI ST = 7 - 0
SKLT vs SK SUNGAI TONG = 5 - 2
SKLT vs SK KG JAYA = 4 - 0
Separuh Akhir
SKLT vs SK SGI LAS = 7 - 1
Akhir
SKLT vs SK KG BUKIT = 5 - 4









0 comments:

Post a Comment