Monday 2 March 2015

Perkhemahan Badan Beruniform Peringkat Negeri Terengganu

Buat julung-julung kalinya, 2 orang kadet TKRS SK Lubok Teras telah dipilih untuk mewakili Daerah Setiu dalam Perkhemahan Badan-Badan Beruniform dan TKRS Peringkat Negeri Terengganu pada 25 - 28 Februari yang lepas. Mereka yang dipilih ialah Lans Koperal TKRS Nurizzati binti Izaman dan Lans Koperal TKRS Nur Sahira bt Mohd Ramlan. Kedua-dua mereka telah dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang yang ditunjukkan ketika perkhemahan peringkat daerah Setiu.

Program ini dimulakan dengan latihan pusat selama 2 hari 1 malam bertempat di SK Bintang, Setiu. Latihan pusat ini bertujuan melatih kadet-kadet yang terpilih mewakili daerah dalam aktiviti yang akan dipertandingkan ketika perkhemahan ini. Lans Koperal TKRS Nur Sahira telah dipilih sebagai Ketua Kontinjen Perempuan bagi Daerah Setiu. Beliau dipilih berdasarkan kemampuan beliau dalam berkawad serta memberi arahan kawad.

Perkhemahan kali ini diadakan selama 4 hari 3 malam di Kem Merbau Menyusut. Sebanyak 8 buah daerah telah menyertai perkhemahan kali ini. Antaranya ialah masakan rimba, lari berhalangan, ikatan, kraf, pandu arah, bantu mula serta persembahan. Lans Koperal Nur Sahira telah dipilih menjadi wakil daerah untuk pertandingan lari berhalangan, manakala Lans Koperal Nur Izzati pula dipilih untuk mewakili kontinjen setiu dalam pertandingan ikatan. Lans Koperal Nur Sahira telah mendapat tempat ketiga dari lapan tempat seluruh negeri. Lans Koperal Izzati pula telah mendapat johan antara semua daerah seluruh negeri Terengganu dalam pertandingan ikatan. Pelbagai pahit manis sepanjang perkhemahan telah mereka lalui. Walaupun berhadapan dengan cabaran serta persaingan yang sengit, Lans Koperal Izzati dan Lans Koperal Sahira telah membuktikan bahawa mereka juga mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan murid-murid lain. Saiz badan tidak menjadi penghalang buat mereka.  Ini dibuktikan lagi dengan kedua-dua mereka diberi penghormatan dalam barisan Kawad Kawalan Kehormat semasa perasmian penutup.  Hanya 36 kadet terbaik dipilih daripada sejumlah 260 kadet yang mengambil bahagian dalam Kawalan Kehormat.
Kontinjen Setiu juga telah cemerlang dengan terus memenangi beberapa acara lain, antaranya ialah tempat kedua dalam persembahan, johan masakan rimba, johan bantu mula serta johan kraf perkhemahan. Ini membolehkan kontinjen Setiu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan Perkhemahan Badan Beruniform Peringkat Negeri Terengganu.


Secara keseluruhannya, perkhemahan kali ini telah berjaya melonjakkan nama SK Lubok Teras di peringkat daerah dan negeri. Komitmen dan kesungguhan yang dipaparkan oleh dua kadet ini boleh dijadikan contoh kepada murid-murid lain untuk terus menggapai kejayaan dalam apa jua bidang.


0 comments:

Post a Comment