Friday 10 March 2017

MESYUARAT AGUNG PIBG 2017 CATAT KEHADIRAN 100%


Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2017 sekali lagi mengekalkan rekod kehadiran 100% oleh ibu bapa dan penjaga murid. Walaupun pada tahun ini, pihak sekolah membuat keputusan untuk tidak mengadakan sebarang majlis penyampaian bantuan seperti bantuan KWAPM dan Bantuan Awal Persekolahan 1 Malaysia, namun ibu bapa dan penjaga tetap memberikan komitmen dan masa mereka demi kecemerlangan anak-anak.

Mesyaurat Agung pada kali ini sekali lagi telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato' Haji Sabri b Haji Mohd Noor, ADUN Kawasan Langkap. Dalam ucapan beliau, beliau melahirkan rasa kagum dan teruja terhadap kejayaan-kejayaan yang telah ditempa oleh sekolah sepanjang tahun 2016 dan awal tahun 2017. Beliau juga turut menyatakan SK Lubok Teras merupakan sekolah yang telah banyak mengangkat nama Adun Langkap sehingga dikenali diseluruh Negeri Terengganu. Beliau menggesa agar pemuafakatan ibu bapa dan guru yang ada pada masa sekarang dikekalkan untuk memastikan anak-anak di sini terus cemerlang dalam pelbagai bidang.

Tersentuh dan puas dengan kejayaan sekolah, YB Dato' telah berjanji menaikkan sumbangan tahunan kepada PIBG daripada RM2000 kepada RM5000. Beliau juga berjanji akan menaikkan sumbangan kepada pembinaan pentas baharu di SKLT dari RM10000 kepada RM15000. Malahan, untuk setiap murid yang mendapat 6A dalam UPSR, beliau akan memberikan ganjaran sebanyak RM500. Untuk membantu proses PdPc guru di dalam kelas pula, beliau berjanji akan menyumbangkan 2 buah LCD Projector dan mengusahakan projek gajah menyusur ke perpustakaan. Kami warga SKLT amat gembira dengan sumbangan-sumbangan ini dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' atas keprihatinan Dato' terhadap anak-anak kami di sini.

Turut menghadiri mesyuarat adalah Encik Abd Rawaida b Adi, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Setiu merangkap Pegawai Perhubungan SK Lubok Teras. Dalam ucapan beliau, beliau telah menyatakan bahawa beliau sudah menjadi pegawai perhubungan dibanyak sekolah, dan ini merupakan sekolah yang terbaik beliau pernah lawati. Beliau juga memuji komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa di sini walaupun sekolah terletak jauh di pedalaman.

Mesyuarat Agung diteruskan lagi dengan penyampaian Anugerah Khas PIBG untuk kecemerlangan Sukan kepada 6 orang atlet premier sekolah yang telah banyak menempa kejayaan pada awal tahun ini.

Seterusnya, mesyuarat diteruskan dengan agenda pemilihan Jawatankuasa Baru AJK PIBG bagi sesi 2017/2018. Encik Wan Ramli bin Wan Ismail sekali lagi diberi kepercayaan oleh para ibu bapa sebagai Yang Dipertua PIBG, manakala Puan Azilah bt Abu Bakar telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua PIBG. Antara ibu bapa yang dipilih sebagai AJK pula adalah Encik Saidom b Wahab, Encik Izaman b Abdullah, Puan Hidayu Ali, Puan Sahalai bt Ibrahim, Puan Nazilawati bt Chik, dan Puan Azilah bt Abu Bakar.

Diharapkan agar AJK Baru untuk sesi 2017/2018 ini dapat meneruskan lagi kecemerlangan AJK sebelum ini untuk bersama-sama bergerak dengan pihak sekolah sebagai tunjang utama kemenjadian murid.












0 comments:

Post a Comment