We Believe in Children's Potential

Here in SK Lubok Teras, we try our best to highlight every student's potential and give them the best education that suits their interest.

Every Child Matters

Polisi di SK Lubok Teras ialah tiada murid yang akan diasihkan kerana potensi akademik mereka. Kami akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang dapat membantu murid belajar dengan cara yang terbaik.

Fokus Pada Kemahiran Diri

Kami tidak hanya berfokuskan kepada akademik, sistem pendidikan kami juga memberi penekanan kepada kemahiran diri murid yang membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat berguna pada masa hadapan.

Hubungan Baik Guru dan Ibu-Bapa

Hubungan rapat antara ibu-bapa dan guru merupakan antara kunci kejayaan kami. Guru-guru kami sentiasa berjumpa dengan ibu-bapa untuk memberi maklum balas mengenai prestasi anak-anak mereka.

Sentiasa Bersedia Membantu Murid

Guru-guru kami sentiasa bersedia membantu murid-murid walaupun di luar waktu persekolahan.

Thursday 17 November 2016

UPSR KITA 5 TERBAIK DI NEGERI TERENGGANU!



Pengumuman UPSR 2016 telah menyaksikan SK Lubok Teras dinobatkan sebagai 5 Sekolah Terbaik Negeri Terengganu dengan pencapaian 100% Lulus. Walaupun tiada murid yang berjaya mendapat 6A penuh, namun GPS dan Peratus Lulus adalah melebihi GPS Negeri dan Kebangsaan. SKLT juga merupakan sekolah kelima terbaik di Daerah Setiu dari segi GPS.

Tahniah kami ucapkan kepada adik Ahmad Iskandar Zulkarnain yang berjaya memperoleh 5A dan adik Sharifah Shaqirah Nadyrah yang berjaya memperoleh 4A. Tahniah dan sekalung penghargaan kepada semua guru yang bertungkus lumus memastikan kejayaan kali ini. Ini membuktikan SKLT bukan sahaja hebat dari segi Ko-Kurikulum dan Ko-Akademik, malahan juga dalam bidang akademik!.

Kami mengharapkan agar lebih ramai murid-murid tahun 6 kami akan mendapat tempat di sekolah-sekolah kawalan untuk mendapatkan pendidikan menengah yang terbaik.

Ustaz Wan Shamsukardi menerima sijil penghargaan dari Tuan Pengarah JPNT

5 Terbaik Negeri Terengganu
adik Sharifah Shaqirah Nadyrah yang mendapat 4A 2B

adik Ahmad Iskandar Zulkarnain yang mendapat 5A 1B

Calon UPSR 2016: 100% Lulus Semua Mata Pelajaran!


Monday 31 October 2016

KADET SKLT CEMERLANG DI PERKHEMAHAN



Anak-anak SK Lubok Teras terus mencipta nama di peringkat tinggi. Kali ini, anak-anak ini mengejutkan ramai pihak apabila 11 daripada 20 kadet yang dihantar ke Perkhemahan Kursus Naik Pangkat TKRS berjaya mendapat pangkat Sarjan. Bilangan ini merupakan bilangan teramai kadet berpangkat Sarjan di Daerah Setiu. Malahan, SKLT juga muncul sebagai sekolah dengan peratusan kadet berpangkat Sarjan teramai di Daerah Setiu.

Perkhemahan Kursus Naik Pangkat ini telah bermula pada 25 Oktober 2016. Perkhemahan ini dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Setiu dengan kerjasama Sekretariat TKRS Daerah dan bertujuan melatih serta memberi pendedahan kepada kadet-kadet TKRS seluruh daerah Setiu. Kadet-kadet dari SK Lubok Teras telah menonjol semenjak hari pertama lagi. Ini dibuktikan dengan adik Muhammad Lutfillah dilantik sebagai Penghulu Kem manakala adik Nurul Asyirah dilantik sebagai Penghuluwati Kem. Tidak cukup dengan itu, kadet-kadet TKRS SK Lubok Teras juga telah dilantik sebagai ketua-ketua kumpulan dalam platun mereka. 4 Platun perempuan semuanya diketuai oleh murid kita, manakala 4 daripada 6 platun lelaki juga diketuai oleh murid SKLT.

Kadet TKRS SKLT menonjol bukan sahaja dalam kepimpinan, malah dalam arena lain juga. Semenjak latihan kawad yang pertama, kadet-kadet kami telahpun diberi kepercayaan memberi tunjuk ajar kepada kadet-kadet dari sekolah lain. Kadet-kadet Tahun 6 kami pula berjaya membuat persembahan kebudayaan yang amat menarik dan memukai para penonton. Tidak hairanlah sekiranya hanya ketika tiba giliran murid SKLT, seluruh dewan fokus memberi tumpuan. Sketsa pendek yang dipersembahkan oleh mereka juga telah berjaya membuatkan para penonton tidak kering gusi.

Berikut merupakan nama-nama kadet SK Lubok Teras yang telah berjaya dinaikkan pangkat.

PANGKAT SARJAN
  1. Sarjan TKRS Nurul Asyirah 
  2. Sarjan TKRS Sharifah Shaqirah Nadyrah 
  3. Sarjan TKRS Wan Nurezrena Nasuha
  4. Sarjan TKRS Anis Farisha
  5. Sarjan TKRS Siti Nuruldiana Alya
  6. Sarjan TKRS Aina Adyriana
  7. Sarjan TKRS Aisyah Sofia
  8. Sarjan TKRS Aini Najwa
  9. Sarjan TKRS Noraliana Syafika
  10. Sarjan TKRS Muhammad Lutfillah
  11. Sarjan TKRS Ahmad Iskandar

PANGKAT KOPERAL

  1. Koperal TKRS Muhammad Afiq Asyraf
  2. Koperal TKRS Muhammad Faiz Haziq
  3. Koperal TKRS Muhammad Azrin
PANGKAT LANS KOPERAL
  1. Lans Koperal TKRS Muhammad Hafizan
  2. Lans Koperal TKRS Mohd Saiful
  3. Lans Koperal TKRS Luqman Hakimi
  4. Lans Koperal TKRS Nur Izzati Balqis
  5. Lans Koperal TKRS Sharifah Fariesa Najwa
  6. Lans Koperal TKRS Nur Alisah Maisarah
Tahniah diucapkan kepada semua!

Adik Lutfillah memberi ucapan sebagai wakil murid

Menerima pangkat daripada Pen Pegawai Pendidikan Daerah

Adik Ahmad Iskandar diberi kepercayaan untuk mengetuai bacaan doa

Bersama GPK 1 dan Jurulatih, Leftenan KRS Hafiz dan Leftenan KRS Wan Muhd Nur Hisyam

bersama guru pengiring dan jurulatih, Left. Muda KRS Nadzri

Wednesday 26 October 2016

LINUS CATAT 100% LULUS!

Saringan Literasi dan Numerasi (membaca, menulis dan mengira Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris) mencatatkan sejarah baru pada tahun ini di SK Lubok Teras apabila kesemua 9 murid Tahun 3 lulus dengan jayanya untuk semua kertas.

Ini merupakan kali pertama kelas di SK Lubok Teras berjaya merangkul rekod seratus peratus lulus semenjak LINUS 2.0 diperkenalkan pada tahun 2013.

Saturday 22 October 2016

KARNIVAL SUKAN RAKYAT & HIAS KHEMAH



MERIAH!!!

Pagi Jumaat di SK Lubok Teras dipenuhi oleh ibu bapa, murid-murid dan penduduk Kg Bukit Lawang dan Bukit Aman. Hari ini diadakan karnival sukan rakyat dimana pihak sekolah dengan kerjasama PIBG dan JKKK menganjurkan pertandingan Bola Jaring, Bola Tampar dan Futsal. Ibu bapa turut datang ke sekolah sejak awal pagi lagi bagi menghias khemah rumah sukan anak-anak mereka.

Jutaan terima kasih kepada semua atas komitmen yang diberikan!.


Hujan lebat pula pada waktu petang, padang yang becak dan basah, tidak sedikitpun menjadi penghalang kepada ibu bapa dan komuniti setempat untuk terus menjalankan kerja-kerja persiapan akhir untuk SUKTER pada hari esok.
Sehingga ke lewat petang, ibu bapa dilihat masih bertungkus lumus di padang kami.
Terima kasih semua. Komitmen anda membuatkan kami terharu. Sama-sama kita menjayakan kecemerlangan anak-anak kita.




Tuesday 18 October 2016

LUBOK TERAS KUASAI PODIUM JUARA MERENTAS DESA



WE DID IT AGAIN!!!
Hari ini anak-anak kami terus melakar sejarah baru! Kejohanan Merentas Desa B11 Daerah Setiu menyaksikan empat pelari perempuan kami menguasai podium apabila berjaya menempatkan diri mereka di tempat pertama, kedua, ketiga dan keempat!

Johan - Wan Nur Natasha Atiqah
Naib Johan - Intan Shafika
Ketiga - Nur Syamimie Munirah
Keempat - Nur Iman Izzatti

Keempat (lelaki) - Amirrudin Ali

TAHNIAH ANAK-ANAK SKLT! TERUS MENCIPTA NAMA!

Friday 14 October 2016

NURULDIANA TERUS KUASAI PENTAS OLAHRAGA NEGERI





Siti Nuruldiana Alya pada hari ini membuktikan sekali lagi bahawa beliau adalah Juara Negeri!. Hari ini, di Karnival Pembangunan Olahraga Peringkat Negeri Terengganu, Nuruldiana terus mengharumkan nama sekolah apabila berjaya merangkul 1 Pingat Emas dan 1 Pingat Perak. Emas diperoleh dalam acara Lompat Jauh manakala Perak pula dalam acara 100M. Karnival peringkat negeri ini telah diadakan di Trek Balapan dan Padang SMK Sultan Nasirrudin Shah, Besut. Turut mewakili Daerah Setiu adalah Amirrudin Ali dalam acara lompat jauh dan lompat tinggi. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Nuruldiana dan semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan juara ini.

Tuesday 11 October 2016

PERJUMPAAN KELUARGA MURID TAHUN 4








Semalam kami adakan juga perjumpaan dengan keluarga murid tahun 4 kami. Menerusi pertemuan ringkas itu, kami berbincang mengenai pretasi semasa anak-anak baik dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum. Kami juga menyerahkan rekod kelakuan murid dan bersama-sama berbicang cara menangani masalah-masalah yang timbul dikalangan murid-murid tahun 4 kami. Peluang ini juga kami gunakan untuk menerangkan laluan Sekolah Menengah anak-anak ini selepas habis Tahun 6 nanti. Kami "wajibkan" bagi setiap anak-anak ini mempunyai cita-cita untuk ke mana-mana sekolah kawalan pilihan mereka.

Terima kasih diucapkan kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir pada malam tadi dan sama-sama memberikan kerjasama kepada kami demi kecemerlangan anak-anak ini.

Friday 7 October 2016

SKLT JUARA KANVIVAL PEMBANGUNAN OLAHRAGA



SKLT kali ini terus mencipta nama dalam arena sukan apabila muncul Johan Keseluruhan Karnival Pembangunan Balapan dan Padang Daerah Setiu. Atlet-atlet SKLT telah berjaya menggondol 5 Emas dan 1 Gangsa daripada keseluruhan 10 Emas yang ditawarkan. Malahan, kesemua atlet utama SKLT berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 1 pingat.

Karnival Pembangunan Balapan dan Padang ini diadakan untuk peserta berumur 11 tahun dan kebawah. Sebanyak 5 acara lelaki dan 5 acara perempuan diadakan sepanjang sehari karnival. Acara yang ditawarkan ialah 100M, 200M, Lompat Tinggi, Lompat Jauh dan Lontar Peluru.  SKLT menghantar seramai 7 orang atlet, 5 atlet utama dan 2 atlet pelapis berusia seawal 8 tahun.

Emas pertama telah diperoleh oleh adik Amirrudin Ali dalam acara Lompat Tinggi. Manakala, Siti Nuruldiana Alya menyumbangkan emas kedua dan ketiga dalam acara 100M dan Lompat Jauh. Amirrudin Ali sekali lagi menyumbang emas dalam acara Lompat Jauh. Emas kelima pula disumbangkan oleh adik Intan Shafika dalam acara 200M. Gangsa turut disumbangkan dalam acara sama melalui adik Iman Izzatti.

Tahniah kami ucapkan kepada semua atlet. Kejayaan memperoleh 50% emas daripada keseluruhan yang ditawarkan membuktikan keberkesanan Program Pembangunan Atlet tajaan Kelab Murid SKLT. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Encik Mohd Afnizam b Mohd Ghazali, Penolong Kanan Ko-Kurikulum SKLT dan juga Encik Hafiz Abdullah selaku jurulatih. Terima kasih kepada Tuan Guru Besar Encik Zuhaidi b Othman dan Pembantu Tadbir kita, Encik Zulfadli Ghani yang sanggup datang melihat dan menunggu anak-anak ini bertanding. Terima kasih kepada para guru dan ibu bapa yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada kami dalam melahirkan anak-anak yang hebat.
Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Tuan Mohd Khalil dari PPD Setiu dan Tuan Hj Rosmadi, Pen PPD Pembangunan Sukan serta Encik Khairul Azman, Jurulatih Daerah atas sokongan, bantuan serta tunjuk ajar yang diberikan kepada kami.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua murid untuk lebih cemerlang.








Thursday 6 October 2016

SKLT NAIB JOHAN BOLA BALING DAERAH







Anak-anak hebat SK Lubok Teras mencipta sejarah terbaru hari ini! Buat pertama kalinya, kami berjaya merangkul Naib Johan Bola Baling Daerah Setiu!  Anak-anak cemerlang ini menang dalam kesemua perlawanan dan hanya kalah ketika final. 

SK Lubok Teras menang 4-0 dengan SK Merang, 4-1 dengan SK Felda Chalok Barat dan sekali lagi 4-1 dengan SK Rhu 10. Manakala, di peringkat akhir pula, SKLT tewas tipis 2-4 kepada SK Kampung Bukit. Siti Nuruldiana Alya sekali lagi beraksi cemerlang dengan menjaringkan sebanyak 7 gol keseluruhan. Manakala gol-gol lain disumbangkan oleh Aina Adyriana, Aisyah Sofia dan Nur Syamimie Munirah. Kesemua pemain telah beraksi dengan begitu cemerlang dan melangkaui jangkaan awal kami. Malah, semangat juang mereka yang tidak mahu mengalah sehingga ke saat-saat terakhir membuatkan ramai yang terharu. 

Tahniah dan jutaan terima kasih kepada Encik Afnizam selaku Ketua Jurulatih, En Zairani dan En Hafiz selaku pembantu jurulatih, juga kepada Tuan GB En Zuhaidi Othman, Ustaz Wan Shamsukardi, En Nadzri dan En Zulfadli yang sanggup datang melihat dan menunggu anak2 ini bermain sehingga lewat petang. 

Juga sekalung penghargaan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Setiu terutamanya Tuan Mohd Khalil Abdul Rahman yang banyak menyokong kami, juga kepada pegawai-pegawai yang bertugas sepanjang kejohanan ini.

Tidak dilupakan bekas murid SKLT, saudari Arisya Manisya dan Puan Azlin Abu Bakar yang sama-sama membantu latihan anak-anak ini ketika cuti.

TAHNIAH ANAK-ANAK SKLT, Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak kami untuk terus maju.

Sunday 25 September 2016

SKLT LAKAR PENCAPAIAN BARU DI LARIAN JAMBATAN



Komuniti SK Lubok Teras yang hadir


Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud semalam menyaksikan sekali lagi betapa kami adalah sebuah sekolah kecil yang berjiwa besar. 100% murid kami yang menyertai larian berjaya menamatkan larian dalam masa yang ditetapkan dan seterusnya berjaya mendapat medal dari pihak penganjur. Lebih membanggakan lagi, lima atlet kami berada dalam kelompok 100 terbaik dan ini merupakan julung-julung kali kami mencapai ke tahap ini. Bergema pentas utama Pantai Batu Burok dengan sorakan padu murid-murid kami.

Seawal jam 5 pagi lagi murid-murid kami beserta guru-guru dan ibu bapa berkumpul di Pantai Baru Burok. Sokongan para ibu bapa yang hadir tentunya menaikkan lagi semangat anak-anak SKLT untuk melakar kejayaan. Acara 5KM Primary School dilepaskan tepat pada jam 7 pagi oleh YAB Menteri Besar Terengganu.

Kami pada mulanya agak gusar kerana bilangan peserta yang amat ramai, iaitu mencecah 50,000 orang!. Kami takut sekiranya murid-murid kami tidak dapat bersaing dengan peserta yang datang dari seluruh negara untuk bertanding. Namun, kegusaran kami itu ternyata sia-sia kerana murid-murid hebat ini berjaya melakar kejayaan dan memecahkan rekod tahun lepas.

Berikut adalah nama murid-murid kami yang berjaya mendapat tempat dalam kelompok 100 terbaik:

   1. INTAN SHAFIKA BINTI ABDULLAH - TEMPAT KE 42/576
   2. AMIRUDIN BIN ALI - TEMPAT KE 42/813
   3. NUR SYAMIMIE MUNIRAH BT IDHAM HALIMI - TEMPAT KE 60/576
   4. NUR IMAN IZZATTI ASYIQIN BINTI ASPAWI - TEMPAT KE 72/57
   5. WAN NUR NATASHA ATIQAH BT WAN RAMLI - TEMPAT KE 74/576

Pencapaian ini merupakan pencapaian terbaik kami setakat ini. Malahan, pada tahun lepas, tiada langsung murid kami yang berjaya menempatkan diri di kelompok 100. Kedudukan terbaik pada tahun 2015 adalah pada 184. Murid-murid di atas telah menerima RM100 sebagai hadiah beserta dengan sijil dan pingat,

Tidak cukup dengan itu, murid-murid lain juga berjaya menamatkan larian dalam masa satu jam seterusnya berjaya mendapatkan finisher's medal. Berikut adalah senarai murid kami yang berjaya mendapat finisher's medal.

6 . MUHAMMAD LUTFILLAH BIN MOHD RAMLAN 190
7 . MUHAMAD AFIQ ASYRAF BIN SAPIE 286
8 . MUHAMMAD SAIFUL BIN CHE A RAHMAN 289
9 . MUHAMMAD AZRIN BIN MUSTAFA 524
10 . MUHAMMAD FAIZ HAZIQ BIN ABDUL RAHMAN 658
11 . AFIQ AIMAN BIN MOHD SAAD 663
12 . WAN NUREZRENA NASUHA BINTI WAN RAMLI 229
13 . NUR AISYAH SOFIA BINTI AZMAN 255
14 . ANIS FARISHA BINTI SAIDOM 270
15 . NUR AIN FARISYA BINTI ABDULLAH 353
16 . NUR ALISAH MAISARAH BINTI SAPIE 371
17 . SITI NURULDIANA ALYA BINTI MOHD ROSDI 380
18 . NUR IZZATI BALQIS BINTI IZAMAN 407
19 . AINI NAJWA BINTI AZNAN 408
20 . AINA ADYRIANA BINTI ABU BAKAR 463
21 . NURUL SHATIQA NAJWA BINTI SHAFIE 464
22 . NURUL ASYIRAH BINTI MOHD YUSOF 492
23 . AMIZA NAFISA BINTI AZNAN 495



Manakala peserta ke 24, adik ALLY ISKANDAR FAKRULLOH berjaya menamatkan larian sepanjang 12KM selepas masalah teknikal dalam masa 1 jam 40 minit.

Yang ini pula adalah senarai murid-murid kami dari Tahun 1 yang telah berjaya menamatkan larian sepanjang 3KM


      25. ADIEZUL ASYRAF BIN SUHAIDI
      26. ALEESYA DAMIA BINTI ABU BAKAR
      27. MUHAMMAD BILAL HARIS BIN ABDUL RAHMAN

TAHNIAH diucapkan kepada semua pihak, terutamanya GPK KO SKLT, Encik Afnizam yang bersusah payah mendaftar setiap peserta dan memastikan kelancaran program pada hari ini.

TAHNIAH kepada ibu bapa penjaga atas sokongan kuat terus menerus kepada kami dalam usaha membentuk generasi terhebat. Sanggup bangun awal-awal pagi demi anak-anak kita. Dan hari ini kita telah buktikan, SKLT tidak lagi boleh dipandang remeh, dipandang rendah, dipandang enteng!

TERIMA KASIH kepada semua penyumbang Kelab Murid Lubok Teras, seperti mana yang diketahui, program pembangunan atlet kami ditaja sepenuhnya oleh Kelab Murid SK Lubok Teras.


Saksikan rakaman Larian Jambatan Sultan Mahmud oleh Ustaz Wan Muhd Nur Hisyam di bawah!












Sunday 18 September 2016

SARINGAN 2 LINUS: MENULIS

Untuk makluman ibu-bapa penjaga sekalian, Saringan 2 Linus, Item Menulis akan bermula pada 19 September dan berakhir pada 29 September 2016 . Saringan ini melibatkan semua murid tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3). Saringan akan melibatkan subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik. Oleh itu, mohon jasa baik ibu-bapa penjaga memastikan anak-anak anda hadir ke sekolah sepanjang dua minggu ini.

Ibu-bapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Saringan LINUS, boleh lah berjumpa dengan guru kelas atau guru subjek masing-masing. 

LINUS SARINGAN 2

Murid Tahun 1, 2 dan 3
19 September - 29 September 2016

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai LINUS, bolehlah klik pada link di bawah:




Thursday 15 September 2016

ICE-THERAPY SESSION

Hari ini kami rendam atlet-atlet kami dalam ais selepas hampir 2 minggu latihan secara berterusan. Tujuannya bukanlah untuk meningkatkan prestasi, tapi hanya untuk mengurangkan kesakitan. Kami sedar akan latihan yang berterusan ini telah menyebabkan atlet-atlet kami "sore" pada bahagian tertentu badan. Ice-Therapy merupakan amalan biasa yang dilakukan oleh atlet untuk mengurangkan sore dan kesakitan.