We Believe in Children's Potential

Here in SK Lubok Teras, we try our best to highlight every student's potential and give them the best education that suits their interest.

Every Child Matters

Polisi di SK Lubok Teras ialah tiada murid yang akan diasihkan kerana potensi akademik mereka. Kami akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang dapat membantu murid belajar dengan cara yang terbaik.

Fokus Pada Kemahiran Diri

Kami tidak hanya berfokuskan kepada akademik, sistem pendidikan kami juga memberi penekanan kepada kemahiran diri murid yang membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat berguna pada masa hadapan.

Hubungan Baik Guru dan Ibu-Bapa

Hubungan rapat antara ibu-bapa dan guru merupakan antara kunci kejayaan kami. Guru-guru kami sentiasa berjumpa dengan ibu-bapa untuk memberi maklum balas mengenai prestasi anak-anak mereka.

Sentiasa Bersedia Membantu Murid

Guru-guru kami sentiasa bersedia membantu murid-murid walaupun di luar waktu persekolahan.

Wednesday, 30 August 2017

KLINIK PECUTAN AKHIR UPSR 2017



Cuti Pertengahan Penggal Kedua kali ini menyaksikan kami menganjurkan Klinik Pecutan Akhir UPSR 2017. Klinik ini diadakan khas bagi membantu murid-murid membuat persiapan akhir menghadapi UPSR secara lebih berfokus. Lari daripada konsep biasa, klinik ini diadakan selama 3 hari 2 malam bertempat di Anees Chalet, Mengabang Telipot, Kuala Nerus. Klinik yang ditaja oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Lubok Teras ini menggabungkan tenaga kerja semua guru SK Lubok Teras bagi memastikan setiap calon mendapat perhatian sewajarnya.

Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Haji KipayatuAllah bin Dato Ahmad Said atas keprihatinan beliau yang turut serta datang menjenguk calon-calon UPSR kami pada hari terakhir. Beliau sempat bersemuka dengan calon-calon kami serta memberikan sedikit motivasi dan panduan kepada mereka. Malahan, beliau turut menghulurkan sedikit sumbangan untuk anak-anak ini makan tengah hari pada hari tersebut.

Terima kasih kepada PIBG selaku penaja platinum klinik pecutan akhir ini. Terima kasih juga kepada semua penaja-penaja dan penyumbang kem kali ini iaitu Encik Ahmad Zaini, Encik Wan Ramli Wan Ismail, Puan Norahan Bidin, Puan Norazlina Zakaria, Encik Mohd Jamka dan Encik Hafiz Abdullah atas keprihatinan dan kemurahan hati tuan puan. Semoga kem ini akan berjaya melonjakkan prestasi calon-calon UPSR SK Lubok Teras.


Kem Klinik Pecutan Akhir UPSR 2017
27 - 30 Ogos 2017
Chalet Anees, Mengabang Telipot
Tajaan PIBG dan Persendirian



















Saturday, 26 August 2017

WEEKEND OUTING CLASS

Sebagai sebahagian daripada Kem 60 Hari UPSR kami, kami turut mengadakan kelas santai luar dari kawasan sekolah. 26 Ogos 2017, Weekend Outing Class kali ini membawa murid-murid tahun 6 belajar selama 3 jam di Perpustakaan Negeri Terengganu beserta dengan 30 minit waktu membaca bebas. Seterusnya, murid di bawa ke Lagoon Kuala Ibai berdekatan dengan Masjid Sultanah Nur Zahirah untuk makan tengah hari serta aktiviti rekreasi. 

Kelas santai bersambung lagi, kali ini diadakan di Taman Permainan Jeti Marang pula. Murid turut diberi peluang untuk bermain bagi mengelakkan mereka merasa tekanan.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan aktiviti kali ini. Terima kasih juga kepada Puan Norazlina bt Zakaria serta keluarga Noraliana Syafika atas tajaan makan tengah hari murid.













Thursday, 24 August 2017

PROGRAM SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN



Hari terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan penggal menyaksikan kami mengadakan sambutan ringkas Bulan Kebangsaan tahun 2017. Sambutan ini diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik dikalangan murid-murid kami selepas berminggu-minggu dengan pelbagai aktiviti patriotik diadakan.

Sambutan diadakan dengan ucapan Tuan Guru Besar, penyerahan bendera kepada wakil kelas, nyanyian lagu patriotik, rakaman ucapan Hari Kebangsaan dan sesi bergambar beramai-ramai. Walaupun ringkas, murid-murid begitu bersemangat sepanjang majlis, malah sempat menghias diri mereka dengan pelbagai pakaian menggunakan bendera yang ditaja oleh Kelab Murid.

Semoga sambutan ini berjaya mencapai matlamatnya, melahirkan generasi yang berpatriotik tinggi.
















Tuesday, 22 August 2017

PERTANDINGAN MENGHIAS KELAS

Petang Selasa kali ini menyaksikan anak-anak kami begitu sibuk menghias kelas masing-masing dengan Jalur Gemilang. Program menghias kelas sempena Bulan Kebangsaan ini diadakan saban tahun bagi meningkatkan semangat patriotik dikalangan murid-murid SK Lubok Teras. 

Apa yang menariknya, idea hiasan kelas ini datang daripada murid-murid sendiri. Kami sudahpun mengarahkan guru-guru kami supaya memberi peluang kepada murid-murid sendiri untuk melontarkan idea mereka. Malahan, kami guru-guru hanya bertindak sebagai pemudah cara, membantu mereka menghias. Hasilnya, begitu banyak sekali idea yang tidak kami terfikir dapat dilaksanakan oleh murid-murid. 

Konsep ini sebenarnya tidak asing lagi dikalangan warga SK Lubok Teras. Saban hari, semakin banyak kepercayaan diberikan kepada murid-murid untuk berkreativiti. Kami percaya, sekolah adalah milik mereka, kami sebagai guru perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk mereka tahu berfikir sendiri.

Wednesday, 16 August 2017

SKLT HIP PRACTISE KE PERINGKAT KEBANGSAAN



Minggu ini sekali lagi menyaksikan wakil dari SK Lubok Teras menempa nama di peringkat kebangsaan. Kali ini, Program HIP SK Lubok Teras pula yang telah dipilih untuk mewakili Negeri Terengganu ke Kolokium Highly Immersive Programme di English Language Teaching Centre. Kolokium yang dirasmikan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid itu menyaksikan amalan HIP terbaik dari seluruh Malaysia bergabung dibawah satu bumbung,

SK Lubok Teras yang diwakili oleh Encik Hafiz Abdullah, Tuan Guru Besar Encik Mohd Jamka Harun dan Ustaz Wan Muhd Nur Hisyam telah membawakan program Movie Night sebagai amalan terbaik HIP di SK Lubok Teras. Program Movie Night ini telah menarik perhatian ramai peserta disana apabila mereka menyatakan rasa kagum dengan kemampuan SKLT yang menganjurkan program Bahasa Inggeris yang melibatkan semua ahli dalam komuniti kecil kita. Malah, ramai juga yang memuji usaha kami yang bukan sahaja mendidik anak-anak kampung disini, tetapi turut sama sentiasa melibatkan ibu bapa secara aktif dalam program-program sekolah.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada ibu bapa SK Lubok Teras, kerana tanpa komitmen dan kerjasama mereka, tidak mungkin program ini dapat mencapai ke tahap ini.

Terima kasih kepada pihak Jpn Terengganu, PPD Setiu dan Encik Shamsul Rafizi Ramli atas peluang dan tunjuk ajar yang diberikan.