Friday 1 December 2017

SITI NURULDIANA ALYA, SERIKANDI SK LUBOK TERAS, TOKOH KO-KURIKULUM 2017

Anugerah Srikandi merupakan anugerah terbaru yang diwujudkan bagi mengiktiraf murid perempuan yang tidak pernah menunjukkan sikap putus asa dalam perjuangan memajukan diri. Anugerah khas ini hanya akan diberikan sekiranya ada murid yang berjaya mencapai tahap yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan tidak semestinya setiap tahun.

Penerima anugerah Srikandi pertama SK Lubok Teras ini merupakan seorang atlet yang telah mencipta fenomena baru dalam bidang balapan dan padang di sekolah. Murid ini juga merupakan seorang yang amat pandai dalamr mengatur dan menguruskan pelbagai acara di sekolah, malahan turut menjadi idola kepada adik-adik beliau. Sikap tidak berputus asa ketika pertandingan dan perlawanan beliau membuatkan kami merasakan, amat sesuai sekali beliau dijadikan contoh kepada generasi seterusnya. Berikut adalah sedikit profail mengenai Penerima Anugerah Serikandi SK Lubok Teras 2017, Siti Nuruldiana Alya bt Mohd Rosdi.

Jam 2.11 pagi, 9 Januari 2005, kedengaran tangisan kecil anak perempuan bongsu kepada pasangan Encik Mohd Rosdi dan Puan Nor Aini. Membesar dengan penuh kasih saying oleh kedua ibu dan abah beliau, anak ini membesar dengan baik sekali, menjadi antara murid yang paling aktif ketika di alam pra sekolah. 

Memasuki alam sekolah rendah, beliau menunjukkan minat yang amat mendalam dalam bidang nyanyian dan seni persembahan. Namun, tahun 2016 menyaksikan minat beliau itu diubah oleh kami dengan kami memperkenalkan bidang sukan kepada beliau. Ternyata, percaturan kami begitu menjadi, apabila beliau muncul, sebagai murid pertama dalam sejarah sekolah mendapat Pingat Emas di kejohanan peringkat daerah dan negeri. Dan sepanjang dua tahun bergelar atlet, beliau telah mencipta satu penandarasan baru dalam bidang olahraga di SK Lubok Teras. Sehingga kini, beliau telah mengumpul 8 pingat Emas, pernah mewakili negeri dalam 3 acara balapan dan padang serta menjadi pemecah rekod lompat jauh daerah sebanyak dua kali, menjadikan beliau, atlet yang paling berjaya dalam sejarah SK Lubok Teras. 

Tidak terhenti di situ, beliau juga amat berbakat dalam bidang kepimpinan sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pelajar, Pengerusi Persatuan Bahasa Inggeris serta Chief Executive Officer, Kelab Murid SKLT. Malahan, beliau juga antara kadet pertama yang mendapat pangkal koperal dan sarjan TKRS pada usia yang begitu muda.

Siti Nuruldiana Alya juga merupakan Timbalan Ketua Murid dan Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah. Kepimpinan beliau terbukti apabila banyak mengendalikan acara-acara sekolah dan selalu bertindak sebagai pengacara majlis samada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Beliau juga banyak terlibat dengan program pembangunan pelapis SKLT dan pada 2017, merupakan Ketua Jurulatih Pasukan Action Song Tahap 1. Pasukan beliau telah berjaya memperoleh Naib Johan di pertandingan peringkat zon.






0 comments:

Post a Comment