BAGAIMANA USTAZ & USTAZAH, GURU SAINS, GURU BAHASA MELAYU, GURU MATH, PEMBANTU TADBIR SERTA GURU BESAR SENDIRI, MELATIH ANAK-ANAK SMART ENGLISH DALAM MASA SEHARI, DAN MAMPU MENDAPAT TEMPAT KETIGA!
Semalam, anak-anak kami menempa kejayaan lagi apabila berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam Program SMART English anjuran YDSM. Kami kalah dengan sekolah yang lebih besar dan juga sekolah kluster kecemerlangan. Dan mungkin pada yang lain, tiada apa yang perlu dibanggakan setakat dengan tempat ketiga.
NAMUN, tahukah anda, anak-anak ini berlatih dalam masa SEHARI sahaja ? Dan tahukah anda, saya sebagai guru Bahasa Inggeris tidak terlibat pun dengan latihan mereka memandangkan sedang sibuk dengan persiapan team balapan dan padang negeri. YA, saya hampir-hampir putus asa apabila masa dan tenaga saya dipaksa secara sepenuhnya untuk balapan dan padang, pagi, petang dan malam. Saya pada hari Selasa yang lepas terpaksa membuat keputusan untuk MENARIK DIRI dari pertandingan Smart English memandangkan tiada masa langsung untuk balik ke sekolah dan membuat latihan.
Namun, semangat guru-guru SK Lubok Teras memang luar biasa. Guru-guru ini diketuai oleh GPK 1 kami dan Guru Besar sendiri menyatakan kesanggupan mengambil alih segalanya dan melatih anak-anak ini, sedangkan kami hanya ada masa SEHARI SAHAJA lagi untuk membuat latihan. Dan begitulah, pada hari Rabu, saya sempat "lari" sekejap balik ke sekolah, terkejut melihat latihan anak-anak yang sudah hampir 90% SIAP!. Segala persiapan, pengurusan dilakukan oleh guru-guru SKLT yang bukan opsyen Bahasa Inggeris pun! Saya hampir menitiskan air mata melihat kesungguhan mereka demi melihat anak-anak kampung di sini berjaya. Tuan Guru Besar sendiri, pada hari Rabu itu, membatalkan segala mesyuarat demi memberi ruang kepada guru-guru untuk membantu latihan anak-anak ini.
HASILNYA, walaupun latihan hanya sehari, walaupun guru Bahasa Inggeris tidak terlibat, mereka masih mampu berdiri megah, mendapat tempat ketiga dari sebelas buah sekolah yang bertanding! Sesuatu yang AMAT LUAR BIASA bagi saya. Dan ini juga menunjukkan, di SKLT, Bahasa Inggeris BUKAN lagi sesuatu yang asing, kami sudah sampai tahap dimana guru-guru yang bukan mengajar Bahasa Inggeris pun mampu menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Bahasa Inggeris!.
Tentu sekali, bagi anda ini hanya cerita biasa, not movie materials and everything, but for me, ini adalah satu kejayaan yang amat besar dan luar biasa.
Untuk ibu bapa di Kampung Bukit Aman dan Kampung Bukit Lawang, pegang eratlah guru-guru ini, jangan lepaskan mereka, kerana bukan senang mencari guru-guru sebegini dalam arena pendidikan kita. Beruntung besar sebenarnya anak-anak kampung kita mendapat guru-guru sebegini.
Semoga kisah kesungguhan mereka menjadi contoh kepada pendidik lain dalam memajukan anak bangsa.