We Believe in Children's Potential

Here in SK Lubok Teras, we try our best to highlight every student's potential and give them the best education that suits their interest.

Every Child Matters

Polisi di SK Lubok Teras ialah tiada murid yang akan diasihkan kerana potensi akademik mereka. Kami akan berusaha untuk menyediakan pendidikan yang dapat membantu murid belajar dengan cara yang terbaik.

Fokus Pada Kemahiran Diri

Kami tidak hanya berfokuskan kepada akademik, sistem pendidikan kami juga memberi penekanan kepada kemahiran diri murid yang membolehkan mereka menjadi ahli masyarakat berguna pada masa hadapan.

Hubungan Baik Guru dan Ibu-Bapa

Hubungan rapat antara ibu-bapa dan guru merupakan antara kunci kejayaan kami. Guru-guru kami sentiasa berjumpa dengan ibu-bapa untuk memberi maklum balas mengenai prestasi anak-anak mereka.

Sentiasa Bersedia Membantu Murid

Guru-guru kami sentiasa bersedia membantu murid-murid walaupun di luar waktu persekolahan.

Friday, 15 April 2016

SKLT MENGUNGGULI TIEP CROSS COUNTRY

Pada hari Jumaat yang lepas,15 April 2016, lapan orang murid telah dibawa ke Terengganu Endurance Park di Lembah Bidong Setiu untuk menyertai Cross Country TIEP. Seramai 5 orang atlet sekolah, 2 orang atlet pelapis dan seorang chaperon telah bertolak dari sekolah seawall jam 5 pagi.
Larian yang diadakan sempena Sultan Mizan Cup ini telah menarik ratusan peserta dari pelbagai kategori. Untuk kategori 12 tahun, sekolah-sekolah lain yang turut menyertai larian ialah SK Bukit Sawa, SK Kampung Bukit Setiu dan SK Sungai Lerek Setiu serta dari sekolah-sekolah sekitar Lembah Bidong.

Walaupun kurang latihan, namun atlet-atlet larian kita tidak menghampakan apabila berjaya mengungguli sepuluh tempat terbaik bagi kategori Perempuan 12 Tahun. Dengan semangat yang bersungguh-sungguh dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa, atlet kita mendapat tempat ke-2, ke-3, ke-7 dan juga ke-8. Berikut adalah senarai pemenang:

Intan Shafika Binti Abdullah – NAIB JOHAN
Nur Syamimie Munirah bt Idham Halimi – KE-3
Nur Iman Izzatti Asyiqin bt Aspawi – KE-7
Wan Nur Natasha Atiqah bt Wan Ramli – KE-8


Thursday, 7 April 2016

SEMANGAT JUANG AMIR BUAT KAMI TERHARU

Amiruddin Ali hari ini membuatkan hampir seluruh warga SK Lubok Teras terharu. Amir yang mewakili Daerah Setiu dalam acara Hurdle 80M L11 bermula dengan baik pada hari ini dan telah hampir merangkul gangsa. Namun, kemalangan yang tidak disangka pada pagar terakhir telah memusnahkan harapan beliau. Apa yang kami kagum adalah semangat tidak mengalah beliau. Beliau terus sahaja bangun dan mengejar sehingga berjaya mendapat tempat ke-5. Malah, insiden ini hampir-hampir menyebabkan kecederaan yang teruk kepada beliau. Selepas tamat larian, Amir tersungkur dan terpaksa dibawa ke khemah kecemasan. Walau bagaimanapun, kami lega kerana tiada kecederaan teruk yang menimpa Amir.

Tahniah Amir atas semangat juang yang tinggi. Anda adalah kebanggaan kami!.



NURUL TERUS CIPTA SEJARAH! EMAS MSST

Mencipta sejarah! Hari ini seluruh warga SKLT bersorak gembira apabila Siti Nuruldiana Alya, wakil daerah Setiu ke Kejohanan Balapan dan Padang MSST (Peringkat Negeri Terengganu) berjaya merangkul EMAS dalam acara LOMPAT JAUH P11! Ini meletakkan Siti Nuruldiana sebagai salah seorang atlet P11 terhebat di Negeri Terengganu!. Malahan, Emas ini merupakan emas pertama Kontinjen Daerah Setiu dalam kejohanan kali ini. Emas ini juga adalah emas pertama peringkat negeri yang pernah dicapai oleh mana-mana atlet di SK Lubok Teras sepanjang 31 tahun ditubuhkan. Tahniah adik Nuruldiana, tahniah jurulatih Encik Hafiz Abdullah yang juga telah diangkat sebagai jurulatih daerah. Kami harapkan kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada murid-murid yang lain untuk terus cemerlang!.

Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menyokong usaha kami memajukan anak-anak kampung ini, terutamanya kepada mantan Guru Besar kami, Encik Che Wan Ralisyardy, Guru Besar SKLT, Encik Zuhaidi Othman, GPK Ko kami, Encik Mohd Afnizam dan semua guru-guru SKLT. Jutaan terima kasih kepada Encik Rosdi dan Puan Nor Aini, ibu bapa kepada Nuruldiana atas sumbangan dan sokongan kuat kepada kami dalam menghasilkan juara ini. 








Wednesday, 6 April 2016

SEND OFF ATLET KE MSST

Hari ni kami buat majlis "send off" ringkas untuk Siti Nuruldiana Alya yang akan mewakili daerah Setiu dalam Kejohanan Olahraga Peringkat Negeri (MSST) acara lompat jauh dan relay 4x100m. Bersama dengan beliau adalah adik Amirrudin Ali yang akan bermain dalam acara 80M berpagar. Bersama kita jayakan kejayaan mereka!


Tuesday, 5 April 2016

ISKANDAR JOHAN BERCERITA ZST

Tahniah adik Ahmad Iskandar, berjaya mencipta sejarah baru di SKLT apabila mendapat Johan Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran sempena Karnival Dakwah Zon Setiu Timur. Tahniah dan terima kasih kepada semua guru yang terlibat, terutamanya Ustazah Norahan atas kejayaan ini! Semoga ianya menjadi pembakar semangat kepada murid-murid yang lain untuk lebih cemerlang.


Sunday, 20 March 2016

YB DATO' HAJI SABRI SUMBANG RM10 000

Terima kasih YB Dato' Haji Sabri b Mohd Noor yang sudi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG kami tempoh hari! Dan pastinya, jutaan terima kasih Dato' atas peruntukkan sebanyak RM10 000 untuk pembinaan pentas di SK Lubok Teras!

YB Dato' Haji Sabri b Mohd Noor dalam ucapan beliau menyatakan bahawa betapa beliau kagum dengan pencapaian luar biasa SKLT sejak akhir-akhir ini. Beliau juga berkata sentiasa menjadikan SKLT sebagai sebuah sekolah pedalaman yang patut dicontohi oleh lain. 


Mesyuarat Agong PIBG semalam menyaksikan kehadiran 100% oleh Ibu Bapa dan Penjaga murid. Turut diadakan adalah pemberian wang Bantuan Awal Persekolahan dan juga wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid-murid yang kurang berkemampuan. Buat pengetahuan semua, oleh kerana demografi dan ekonomi keluarga murid yang rendah, 90% murid-murid kami menerima sumbangan kumpulan wang amanah murid miskin ini.

Buat YB Dato' Haji Sabri, terima kasih dari kami guru-guru, ibu bapa, anak-anak serta seluruh warga komuniti SK Lubok Teras
 














Saturday, 19 March 2016

KELAB MURID SEDIA HADAPI STROK HABA

SIAP SEDIA....Chief Financial Officer Kelab Murid, adik Aini Najwa bersama Head of Sales Division, adik Intan Shafika menunjukkan bekalan air mineral yang disejukkan sumbangan Kelab Murid SKLT bagi menghadapi cuaca panas esok. Kelab Murid turut menyediakan ais dan sponge bagi kegunaan murid-murid untuk mengelakkan strok haba.


Monday, 14 March 2016

SKLT MEWAKILI DAERAH SETIU LAGI

Pada hari ini, Unit Sukan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu mengeluarkan nama-nama atlet yang terpilih untuk mewakili Daerah Setiu dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSST (Peringkat Negeri) bagi tahun 2016. Dan kali ini juga, murid kami membuat sejarah apabila dua atlet kami dipilih mewakili daerah. Siti Nuruldiana Alya, pemenang 2 pingat emas MSSD dipilih mewakili daerah dalam acara Lompat Jauh P11 manakala Amiruddin Ali, mewakili dalam acara 80M Lari Berpagar L11. Siti Nuruldiana Alya juga telah dimasukkan dalam Projek Elit MSSD yang mana beliau akan menjalani latihan bermula sepanjang cuti persekolahan pertengahan penggal pertama sehinggalah ke hari pertandingan.

Selamat berjaya kami ucapkan kepada atlet-atlet kami dan semoga anda berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri nanti.

Turut menghantar serta memberi sokongan kepada adik Nurul adalah 2 bekas pelajar cemerlang kami, iaitu Presiden Kelab Murid 2015, Aina Nabila dan Tokoh Ko-kurikulum 2015, Nurizzati Izaman.
Adik Siti Nuruldiana Alya juga merupakan Chief Executive Officer Kelab Murid Lubok Teras

Nuruldiana di trek latihan SMK Bukit Nenas (Sekolah Sukan Terengganu)

Friday, 11 March 2016

SKLT CIPTA SEJARAH BARU DALAM OLAHRAGA MSSD

3 Emas 2 Gangsa, SKLT merupakan antara pasukan terbaik di Karnival Balapan dan Padang Daerah Setiu! Memecah rekod pencapaian, mengukir sejarah baharu! Malahan, mengikut rekod kami, ini merupakan pencapaian terbaik semenjak SKLT ditubuhkan 31 tahun yang lepas!. Malahan, ini meletakkan SKLT di tempat ke-3 keseluruhan berbanding 43 buah sekolah yang bertanding.
Berikut adalah senarai pemenang pingat kami.
  1. Siti Nuruldiana Alya : Emas Lompat Jauh dan Lontar Peluru
  2. Amiruddin Ali: Emas 80M Berpagar dan Gangsa Lompat Jauh
  3. Wan Nurezrena Nasuha: Gangsa 100M
Manakala, 90% atlet kami yang bertanding juga berjaya ke Peringkat Akhir dan berikut merupakan pencapaian terbaik mereka.
  1. Nur Syamimie Munirah : Ke-4 Lompat Jauh P11
  2. Intan Shafika : ke-6 200M P11
  3. Sharifah Shaqirah Nadyrah: ke-5 Lontar Peluru P12
Tahniah diucapkan kepada semua atlet kami yang tidak pernah berputus asa dan terus menerus berusaha menggapai puncak. Kepada guru-guru, ibu-bapa, PIBG. pihak luar, komuniti setempat dan Kelab Murid SK Lubok Teras atas kerjasama yang erat dalam membangunkan murid-murid hebat ini. Terima kasih GPK Ko SKLT, Encik Mohd Afnizam dan Guru Besar, Encik Che Wan Ralisyardy yang terus menerus membimbing dan menyokong usaha hebat ini.
















Tuesday, 8 March 2016

NURUL RANGKUL EMAS PERTAMA SKLT

Hari ini sejarah tercipta lagi apabila adik Siti Nuruldiana Alya berjaya merangkul emas pertama SK Lubok Teras setelah 31 tahun beroperasi. Siti Nuruldiana Alya menobatkan diri beliau sebagai juara dalam acara Lontar Peluru P11. Tahniah kepada pasukan olahraga SKLT dan semoga makin banyak kilauan pingat dapat dilihat pada tahun ini. Buat pengetahuan semua, Kejohanan Olahraga MSSD Setiu kali ini akan berjalan selama 2 hari, bermula hari ini 8 Mac 2016 sehingga esok, 9 Mac 2016 di trek SMK Bukit Nenas. SKLT menghantar seramai 9 orang atlet yang akan bertanding dalam pelbagai acara. Ikuti perkembangan terkini atlet kami di Facebook SK Lubok Teras.